Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 April. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC), yang diadakan melalui sidang video.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Setiausaha Perdagangan dan Industri, Republik Filipina, Her Excellency Ma. Cristina A. Roque, dan dihadiri oleh 11 Negara Anggota ASEAN.
Pada Mesyuarat Khas AECC, para menteri membincangkan kesan krisis Timur Tengah terhadap ekonomi ASEAN dan keperluan mendesak untuk tindak balas serantau yang diselaraskan.
Para Menteri juga antara lain bertukar-tukar pandangan mengenai penyelesaian praktikal untuk menangani kesan yang semakin meningkat ke atas rantaian bekalan, tenaga dan bekalan makanan, khususnya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Ini termasuk komitmen untuk mengekalkan dan memudahkan perdagangan terbuka, meningkatkan penyelarasan rentas sektor dan mempercepatkan operasi pelbagai inisiatif berkaitan tenaga seperti ASEAN Power Grid (APG), ASEAN Framework Agreement on Petroleum Security (APSA) dan Trans-ASEAN Gas Pipeline.
Sekretariat ASEAN, Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) membentangkan beberapa cadangan termasuk cadangan untuk mempertimbangkan kajian mengenai simpanan minyak bersama serantau.
Pada pertemuan tersebut, Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, antara lain, menegaskan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan.
Yang Berhormat menekankan keperluan mendesak untuk tindak balas kolektif dan dalam menghasilkan penyelesaian yang boleh diambil tindakan, termasuk dengan memastikan perdagangan kekal terbuka dan memudahkan perniagaan dan pengguna.
Yang Berhormat seterusnya menekankan keperluan bagi Negara Anggota ASEAN untuk memanfaatkan krisis ini sebagai peluang untuk bukan sahaja menangani cabaran jangka pendek tetapi juga untuk meneroka strategi jangka panjang.
Dengan bertemakan 'Navigating Our Future, Together' menerusi kepengerusian Filipina, Mesyuarat Khas AECC diadakan pada masa ketegangan yang semakin memuncak terhadap rantaian bekalan global dan serantau, terutamanya di sekitar Selat Hormuz.
Ketegangan sedemikian menyumbang kepada peningkatan ketidaktentuan perdagangan, turun naik harga tenaga dan gangguan kepada bekalan makanan penting.
Cadangan yang dibentangkan pada mesyuarat tersebut akan dipertingkatkan lagi untuk kemungkinan perbincangan oleh Pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 yang dijadualkan pada awal Mei 2026.
Turut hadir Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin, sebagai Pegawai Kanan Ekonomi Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.